Mock Trial Fakulti Undang-Undang UKM: Kes Litigasi Sivil

Sedar tak sedar lagi 2 bulan ja masa yang tinggal untuk habiskan degree dekat UKM ni. Dah 4 tahun habiskan masa belajar di Fakulti Undang-Undang. Jadi nak cerita sikit sebagai pelajar tahun akhir di FUU UKM ni, semua wajib melakukan sesi mock trial, senang cerita mock trial ni macam sesi kes mahkamah sebenar samada kes sivil ataupun kes jenayah. Kalau fakulti lain di UKM lebih banyak guna terma sesi VIVA atau Final Year Project untuk penilaian terakhir sebelum bergraduasi.

Sebelum perbicaraan bermula
Setiap  pelajar tahun akhir akan dibahagikan mengikut firma, maka tertubuhlah firma 20 dengan nama Messrs Wan Adibah & Co dengan ahlinya saya, Amy, Taty dan Jesslyn. Masa semester 2, cabutan undi dibuat untuk tentukan setiap firma akan buat kes sivil atau jenayah. Tak tahulah nak menangis ke gembira masa dapat kes sivil haha sebab kes sivil memerlukan banyak kertas kerja yang perlu dibuat sebelum sampai masa perbicaraan sebenar. Boleh kata setiap minggu perlu hantar dokumen kepada mahkamah dan peguam pihak lawan. Oh ya, disebabkan kes ini simulasi sahaja, setiap firma perlu mencipta semua dokumen sendiri untuk pihak yang terlibat, pihak Plaintif diberi kelebihan untuk memilih 10 dokumen terlebih dahulu, jadi pihak Defendan tidak boleh membuat dokumen yang sama dengan Plaintif.

Messrs Wan Adibah & Co
Yang dapat kes jenayah tak perlu buat banyak kerja setiap minggu sebab Pendakwa Raya hanya perlu cari bukti manakala peguambela hanya perlu cipta alasan 'keraguan' untuk lepaskan penjenayah.

So kami dapat simulasi kes tentang Pengurusan Gombak Mall tuntut bayaran caj penyelenggaraan dari Buffalo Films Sdn Bhd yang tak bayar RM3000 dari tahun 2010 hingga 2017. Alasan Buffalo Films dia taknak bayar sebab pengurusan tak buat pun penyelenggaraan dan caj faedah 18% daripada duit penyelenggaran tu Buffalo cakap terlalu tinggi. Tugas kami ialah untuk membela Buffalo Films dalam kes ini sebagai Defendan.


Lepas tu banyak lah kerja kedua-dua belah firma perlu buat. Bermula dengan Notis Tuntutan dari Plaintif, kemudian Defendan perlu membalas notis tu untuk pembelaan dan tuntutan balas. Setiap dokumen ni memang kena perah otak untuk tulis betul-betul, apa alasan paling logik boleh guna? undang-undang apa nak rujuk? ada kesan tak pada klient kita? dokumen cukup tak untuk buktikan kes? saksi mana nak panggil? ada terlepas fakta penting tak dalam kes? dan macam-macam lagi. Kalau ada kesilapan dalam dokumen bukan boleh terus betulkan, kena tunggu seminggu dua dulu, serah pada pendaftar mahkamah, kemudian bagi semula kepada pihak lawan,Lepas tu, pihak lawan terpaksa ubah lagi isi dokumen mereka supaya sama dengan perkara yang dibetulkan.

Di akhir proses, firma perlu membuat pernyataan saksi iaitu apa yang saksi  cakap berkenaan fakta kes atau bukti kes. Selepas itu, firma perlu menyediakan soalan kepada saksi pihak lawan. Ketika inilah peguam perlu bijak bertanya soalan yang tepat, soalan yang memerangkap saksi, soalan yang memaksa saksi untuk menjawab  dengan jawapan yang kita mahu. Membuat draf soalan ini sangat susah, tak hairanlah skill ini dipanggil seni advokasi kerana skill ini memerlukan kemahiran, pengalaman untuk bertanya soalan yang betul. Perkara terakhir yang perlu disediakan ialah hujahan kes, apakah akta perundangan yang terlibat? ada kes yang boleh dirujuk? jika tiada akta dan kes, macamana nak bagi hujahan berbeza? dan kesemua ini perlu relevan dengan kes yang dibicarakan

Mock trial ditetapkan pada 29 April 2017 di Bilik Mahkamah Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS) pada pukul 10 pagi. Asal tak buat di UKM? semua tempat penuh, penyarah nak guna bilik mahkamah yang sebenar supaya dapat ras betul-betul pengalaman sebenar di mahkamah walaupun boleh je buat di bilik tutorial.

Bilik perbicaraan di KUIS
Pengurusan Gombak Mall sebagai Plaintif diwakili oleh firma Asma & Co manakala Buffalo Films Sdn Bhd sebagai Defendan diwakili oleh Messrs Wan Adibah & Co dan kes ditetapkan di Mahkamah Sesyen kerana jumlah tuntutan Plaintif hanya RM255 000.000.

Kes bermula pada pukul 10.15 pagi, sesi pertama ialah 4 saksi Plaintif dipanggil untuk memberi keterangan dan mengesahkan dokumen yang terlibat dalam kes. Defendan perlu membantah jika Plaintif mahu mengesahkan dokumen tetapi Defendan tidak bersetuju mengenainya, alasan perlu diberi kepada mahkamah sebelum diputuskan oleh hakim. Peguam hanya diberi masa 10 minit untuk bertanya soalan balas kepada saksi, ketika ini peguam akan sedaya upaya memaksa saksi memberi jawapan dalam versi peguam yang dirancang dalam setiap soalan. Kemudian, peguam saksi diberi masa 5 minit untuk bertanya soalan kembali kepada saksi untuk membaiki kembali segala jawapan yang diberi kepada peguam lawan. Defendan turut memanggil 4 orang saksi dalam kes ini. Ketika inilah seni advokasi memainkan peranan penting supaya peguam dapat memberi versi fakta dan bukti sendiri dan digunakan untuk meyakinkan hakim. Peguam perlu membantah soalan peguam lawan sekiranya soalan yang ditanya tidak relevan, cuba memprejudis saksi atau saksi tiada pengetahuan terhadap soalan yang ditanya.


Sesi hujahan bermula setelah semua saksi telah dipanggil. Peguam diberi masa 10 minit untuk merangka hujahan. Saya dan rakan peguam, Jesslyn memberikan hujahan bahawa Pengurusan Gombak Mall sebenarnya terlebih dahulu melanggar kontrak kerana tidak memberikan servis penyelenggaraan yang baik kepada Buffalo Films merujuk kepada terma tersirat dalam Akta Kontrak. Selain itu, saya turut memberi hujahan bahawa Plaintif telah menindas Buffalo Films kerana caj faedah 18% yuran penyelenggaraan terlalu tinggi dan  melanggar undang-undang dalam Akta Kontrak, Akta Pengurusan Strata 2013 dan Akta Bangunan dan Harta Bersama 2007. Kami juga memberi hujahan tuntutan Plaintif telah dihalang oleh Akta Had Masa kerana tindakan sivil mestilah dalam masa 6 tahun selepas pelanggaran kontrak berlaku.

Sesi hujahan

Pihak Plaintif pula memberi hujahan bahawa mereka menjalankan obligasi kontrak dan kontrak antara kedua belah pihak sah kerana mereka bersetuju untuk menandatangani perjanjian serta tidak mempertikaikannya ketika itu.Selain itu, tuntutan mereka tidak dihalang oleh had masa kerana setiap bulan notis pembayaran diberi kepada Buffalo Films dan had masa sentiasa diperbaharui setiap kali notis dihantar.

Diputuskan oleh mahkamah, membenarkan tuntutan Plaintif sebahagian sahaja daripada jumlah RM255 000.00. Mahkamah turut bersetuju 18% caj faedah bertentangan dengan undang-undang dan diarahkan Defendan dicaj 10% sahaja baki yuran penyelenggaraan. Terakhir sekali, hujahan had masa ditolak oleh mahkamah kerana tuntutan Plaintif masih sah dan tidak melebihi 6 tahun.

Firma kami turut bertindak sebagai pihak Plaintif dalam kes berlainan yang diwakili oleh Amy dan Izzati dalam Mahkmah Tinggi. Pakaian di Mahkamah Tinggi dan keatas perlu pakai dalam gambar tu.

Perbicaraan di bilik moot di perpustakaan UKM

Inilah sedikit sebanyak pengalaman mengendalikan kes sivil yang dapat dirasai sebelum tamat belajar. Sesi mock trial ini penting untuk mendedahkan pelajar undang-undang prosedur sebenar kes mahkamah dan perkara yang perlu dilakukan sebelum bekerja kelak. Selepas ini, pelajar perlu melalui sesi chambering atau praktikal sebelum disahkan sebagai peguam bertauliah. Semoga semua batch 29 Fakulti Undang-Undang UKM menjadi seorang peguam berjaya suatu hari nanti!

Comments